Nilai, 16 Julai 2018 – KPJ Healthcare University College (KPJUC) telah dipilih sebagai tuan rumah untuk Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan dan Antarabangsa 2018 Peringkat Negeri Sembilan. Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sembilan kali ini membawa tema ‘Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita’.
Majlis telah dirasmikan oleh YAB Tuan Haji Aminudin Bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Ia dihadiri oleh YBhg Dato’ Amiruddin Abd Satar, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad (KPJ), dan Tuan Haji Aminudin Dawam, Pengarah Eksekutif KPJ Healthcare.
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah YB Dr. Razali Ab Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan YBhg Dato’ Dr Hj Izhar Abu Talib, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia.
Beberapa agensi lain juga turut serta dalam program ini seperti Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, RTM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Belia Negeri Sembilan.
YBhg Dato’ Amiruddin, dalam ucapannya, menyatakan bahawa “KPJUC amat peka dan menyokong penuh aktiviti anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada generasi muda tentang bahaya dadah.
“KPJUC telah mengikuti beberapa aktiviti anjuran AADK semenjak tahun 2015. Ini bertujuan untuk memerangi penyalahgunaan dadah dan memberi kesedaran kepada mahasiswa dan masyarakat setempat. Di antara aktiviti-aktiviti yang telah disertai adalah ‘School Intervention towards Substance (SITS)’, ‘Forum Sembang Sayang dan Sokong’, ‘NGO Bersama Komuniti Bersatu Perangi Dadah’ dan ‘Training of Trainer: Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan’ sebagai tanda komitment yang tinggi terhadap usaha untuk memerangi penyalahgunaan dadah di kalangan mahasiswa. KPJUC berharap agar aktiviti-aktiviti ini dapat menyumbang kepada usaha untuk merealisasikan KPJUC sebagai sebuah universiti bebas dadah.”
KPJUC juga mengambil langkah mengemaskini polisi serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan setiap pelajarnya bebas daripada pengaruh dan ancaman dadah. Ujian saringan air kencing turut diadakan secara berkala dengan kerjasama AADK bertujuan untuk memastikan tiada pelajar KPJUC yang terlibat dengan gejala negatif ini. Para pelajar tertakluk kepada First Schedule to the Dangerous Drug Ordinance 1952 (Act 234) yang membolehkan mereka dikenakan tindakan undang-undang yang berat jika di dapati terlibat dalam gejala ini.
KPJUC, yang ditubuhkan sejak 27 tahun yang lalu, adalah sebuah kolej universiti yang fokus dalam menawarkan program perubatan dan sains kesihatan. Kampus utama KPJUC di Nilai mempunyai hampir 170 tenaga akademik / pensyarah dan 2,300 pelajar. Selain KPJUC di Nilai ini, terdapat 2 lagi kolej kejururawatan KPJ iaitu KPJ International College of Nursing and Health Sciences di Johor Bahru dan di Pulau Pinang.
Selain dari kolej universiti dan kolej kesihatan ini, terdapat sebuah lagi kolej yang menawarkan program-program diploma dalam bidang hospitaliti dan pengurusan, iaitu Malaysian College of Hospitality and Management (MCHM) di Johor Bahru. Sehingga kini, KPJUC telah melahirkan 10,000 graduan professional kesihatan yang bekerja di Malaysia dan juga di luar negara.
Terkini, KPJUC menawarkan 36 program di pelbagai peringkat iaitu dari PhD (doktor falsafah), Sarjana (master), Sarjana Muda (bachelor) dan juga Diploma.
KPJUC telah membina reputasi yang dikenali di dalam industri kesihatan sebagai pusat latihan warga kerja yang berkualiti dalam pelbagai bidang dalam industri kesihatan, khususnya dalam program diploma dan pos basik kejururawatan (nursing).
Selain itu, 7 program sarjana muda kesihatannya juga mendapat sambutan memberangsangkan dari pelajar dan ibu bapa. Program kejururawatan, farmasi, physiotherapy, medical imaging, psychology dan occupational health therapy merupakan program pilihan pelajar matrikulasi dan lepasan diploma masa kini. Dengan pembiayaan pendidikan oleh hospital KPJ bagi pelajar yang layak serta peluang pekerjaan selepas tamat belajar, KPJUC merupakan pilihan terbaik para pelajar dan ibu bapa utk meneruskan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
KPJUC juga merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi swasta yang mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk melatih doktor-doktor pakar (Medical Specialist) dalam pelbagai bidang. 4 program latihan kepakaran yang ditawarkan ketika ini kepakaran dalam bidang Otorhinolaryngologi (ORL) – Telinga, Hidung dan Tekak, Radiologi, Bedah Am (General Surgery) dan Bedah Tulang (Otopedik). Kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian ini membuktikan keupayaan KPJUC dan KPJ Health Berhad untuk menjadi peneraju pendidikan kesihatan terbaik di Malaysia dan di rantau ini.